Nama adalah satu panggilan bagi seseorang atau akan sesuatu. Biasanya, hal nama ini adalah dititikberatkan bagi seseorang. Dengan memanggilnya dengan sesuatu nama, ianya boleh diibaratkan mendoakan seseorang itu. Jika baik panggilannya, maka Insya'Allah baiklah nanti amalannya dan sekiranya buruk panggilannya maka Naudzu billahi min zalik buruklah nanti amalannya. Oleh itu, Islam menyarankan agar kita memberi nama yang baik-baik kepada anak-anak.
Nama atau ‘Ismun’ dalam bahasa arab merupakan perkara paling penting dalam peradaban manusia. Ilmu pertama yang diajar oleh Allah s.w.t. kepada manusiapertama, Nabi Adam a.s. ialah nama.
“…dan Dia mengajarnya kepada Adam, nama-nama benda seluruhnya.” (Al-Baqarah: 31)
Dari ayat di atas, terbukti bahawa nama merupakan asas utama dalam ilmu yang menjadikan kita khalifah di muka bumi. Ayat tersebut juga membuktikan bahawa nama adalah amat penting dan keperluan utama terhadap kehidupan manusia.
Islam merupakan agama yang sempurna. Maka, nama menjadi salah satu perhatian utama sebagai identiti pengenalan umat Islam. Rasulullah bersabda,
“Di antara kewajipan seorang ayah kepada anaknya ada tiga. Iaitu menamakan mereka dengan nama yang baik, mengajarnya apabila berakal, dan mengahwinkan si anak apabila mereka ingin berkahwin.” (Al-Hadith)
Menurut sebuah hadith dari Rasulullah SAW bahawa nama yang baik diberikan kepada anak-anak dari kaum muslimin ialah nama para nabi. Manakala yang lebih afdhal (utama) dan disukai oleh Allah SWT ialah Abdullah dan Abdur Rahman. Sedangkan nama yang paling tepatnya ialah Harith dan Hammam. Nama yang paling buruk pula ialah Harb (perang) dan Murrah (pahit).
Adalah menjadi kewajipan bagi kedua ibu bapa untuk memberikan nama yang baik kepada anak-anaknya. Pada dasarnya, memberikan nama yang baik kepada anak-anak bukanlah wajib hukumnya. Namun, jika ditinjau dari segi kesan dan akibat yang timbul daripadanya, maka hukumnya akan beralih menjadi wajib secara sendirinya.
Oleh itu, berhati-hatilah dalam memilih dan memberikan nama kepada anak-anak. Pilihlah nama yang dianjurkan oleh Islam atau sekurang-kurangnya nama yang membawa maksud yang baik.
Dipetik Dari Buku:
Amalan ketika Mengandung & Setelah Bersalin serta Panduan Menamakan Bayi.
PAUTAN LINK LAIN-LAIN: